30 June 2015

~Con Alas~ Lagenda Bersayap: Bab 3

Bab 3
Elena membelek satu persatu rekod setiap jajahan di bilik bacaan Luca. Kekayaan jajahan Lila, kemiskinan jajahan Grun, kepintaran di jajahan Blau dan Azul serta kegembiraan di jajahan Kristall. Adi Rem, Dian dan juga Ferrous merupakan dari golongan hartawan di kerajaan Arco Iris. Mereka tidak dibesarkan di Arco Iris tetapi dibesarkan di Empayar Aria. Orang sebegini tidak layak jadi gabenor! Tetapi, aku juga satu ketika tidak pernah mengambil kisah berkaitan hal ehwal kerajaan. Adakah aku dan mereka juga sama? Elena bermonolog sendirian. Hyekal dan Rishah merupakan anak kelahiran Blau dan Azul serta masih muda. Hyekal berusia 35 tahun manakala Rishah berusia 33 tahun. Hyekal merupakan anak kepada sepasang petani di Kampung Aster. Terdetik di hati Elena untuk berkenalan dengan Hyekal dan juga Rishah. Elena kembali membelek rekod jajahan Grun. Setiap 3 bulan, jajahan Grun mampu membayar cukai kepada kerajaan dengan kadar cukai penuh.
Menurut Ireena, jajahan Grun adalah jajahan yang paling kurang berkemampuan untuk membayar cukai. Rakyatnya terdiri dari para petani dan juga nelayan. Kadar cukai yang dikenakan ke atas satu keluarga adalah 50 keping wang emas. 50 keping wang emas bersamaan 500 keping wang perak. Bagi petani, pekebun dan juga nelayan, hasil tanaman mereka sebulan bersamaan 20 keping wang emas. Elena menulis sesuatu di buku rekodnya. Jajahan Kristall merupakan ibu kota kepada Kerajaan Arco Iris. Dalam 5 jajahan, Kristall adalah yang paling pesat membangun. Istana Kristal terletak di bawah jajahan Kristall.
Elena khusyuk membaca rekod-rekod kewangan di bilik bacaan Luca dan tanpa disedarinya, pintu bilik itu dikuak. “Puteri Elena?” Lembut suara lelaki itu menyapa. Elena memandang ke arah empunya suara itu. “Mahu minum teh?” Lelaki itu berjalan menuju ke meja sudut yang menempatkan pelbagai jenis teh. “Teh yang dicampur dengan madu. Terima kasih, Andre.” Elena melemparkan senyuman kepada Andre. “Hmm.. Saya perlu membersihkan teko ini terlebih dahulu. Air panas juga telah habis.” Melihat senyuman Elena itu, Andre menjadi serba tidak kena. “Kalau begitu, tak perlulah. Dimana Luca?” Mata Elena masih lagi memandang rekod-rekod yang berada ditangannya itu. “Putera berada di bilik tidurnya untuk menyalin pakaian. Putera akan turun ke Bandar Kristal malam ini untuk ke bazaar.”
“Berdasarkan rekod dan maklumat dari Ireena, Grun adalah sebuah jajahan yang miskin. Bagaimana Grun mampu membayar cukai sedangkan rakyatnya terdiri dari petani dan juga nelayan?” Elena meletakkan rekod itu dan memandang Andre. “Ada yang mengatakan bahawa Grun mendapat bantuan dari Lila untuk membayar cukai. Sekiranya betul Grun mendapat bantuan dari Lila, bantuan yang bagaimanakah yang diberi oleh Lila? Disebabkan itu, putera Luca ingin melawat dua jajahan ini secara tidak rasmi.” Elena berfikir sejenak setelah mendengar penerangan Andre itu. “Tuan puteri tidak perlu risau berkaitan ini. Putera Luca akan melakukan sesuatu.”
“Kenapa saya tidak perlu risau? Ini soal kebajikan rakyat di Arco Iris. Saya tahu sebelum ini, saya memang tidak mahu mencampuri urusan hal ehwal negara. Tetapi sekarang, saya juga mahu bertanggungjawab terhadap kerajaan Arco Iris. Saya juga salah seorang ahli keluarga Ingram.” Mendengar kata-kata tajam dari Elena membuatkan Andre terdiam. Dia tidak menyangka ayat yang dituju untuk menyejukkan hati Elena itu telah memakan dirinya. Adakalanya dia terlupa yang Elena itu seorang puteri raja kerana sebelum ini, dia banyak menghabiskan masa dengan puteri itu. Elena kini dah berubah.
“Saya minta maaf kerana telah mengguris hati tuan puteri dengan kata-kata itu. Saya perlu membersihkan teko dan meja sudut teh itu.” Andre perlahan-lahan beredar kembali ke meja sudut tersebut. Elena memandang kembali rekod tersebut. Maaf Andre, saya perlu berubah untuk memastikan rakyat saya hidup tidak tertekan, hati Elena berkata dan dia menjeling ke arah Andre yang sedang mengemas meja sudut itu.
--------------------
Pada malam itu, Andre dan Luca keluar dari Istana Kristal dengan menunggang kuda untuk ke Bazaar Iris. Shin turut mengikuti mereka. Jarak perjalanan antara Istana Kristal ke Bazar Iris adalah sejam. Sepanjang perjalanan, Andre hanya mendiamkan diri. “Betulkan apa yang saya katakan, Andre?” Andre tersedar dari lamunan apabila terdengar namanya disebut. “Maafkan saya?” Andre sedikit kebingungan.
“Ada apa-apa permasalahan ke?” Luca menarik tali kudanya dan menggerakkan kudanya ke arah kuda Andre. Shin juga memberhentikan kudanya. “Tidak ada apa-apa, tuan putera. Maafkan saya.” Andre menyuruh kudanya berlari semula. Melihatkan keadaan Andre itu, mereka meneruskan perjalanan ke Bazar Iris.
“Ini malam kita pesta!” Shin separa menjerit di tengah-tengah Bazar Iris itu.  Manusia Alas yang berada berhampiran mereka pelik dengan kelakuan Shin itu. Bazaar Iris dipenuhi dengan pelbagai manusia dari kerajaan dan empayar lain. Bazaar yang hanya dianjurkan 6 bulan sekali itu, begitu meriah dengan manusia Alas. Beberapa penghibur jalanan turut kelihatan membuat persembahan di Bazaar yang meriah itu.
“Jangan dilupakan tugasan kita, Jeneral!” Luca mengingatkan Shin. Andre hanya diam membisu. “Apa yang diperkatakan Elena itu, tidak perlu ambil hati. Elena merasakan bahawa disebabkan dirinya tidak mahu ambil tahu kancah politik kerajaan, Ireena menanggung beban itu seorang diri. Tidak pelu rasa bersalah terhadap Elena.” Luca menepuk belakang Andre. “Adakah seronok berada di luar istana, putera?” Andre memandang Luca melihatkan Luca begitu selesa di luar istana. "Sangat seronok. Banyak protokol yang perlu diikut berada dalam istana. Adakalanya Bendahara Cornelius akan menegur sekiranya ada protokol yang salah.” Luca tergelak sendiri. Luca memberhentikan seketika langkahnya apabila mendengar seorang penghibur jalanan membuat persembahan nyanyian. Suaranya lunak dan sangat merdu.
“Putera, jangan lupa tugasan kita!” Shin sengaja mengulangi kata-kata Luca. “Baik, Jeneral. Andre, sebelum kita balik istana, sila belikan sesuatu untuk Elena sebagai tanda minta maaf. Mari kita mulakan tugasan kita.” Shin, Andre dan Luca memulakan tugasan mereka di Bazar Iris itu.  
Kemeriahan di bazaar itu dapat dirasakan oleh Luca. Rakyatnya begitu gembira pada malam seperti ini. "Bunga ros biru ini sesuai untuk gadis Alas yang mempunyai sifat yang lembut." seorang gadis cilik dan comel muncul dihadapan Luca dan memberikan sekuntum bunga ros biru kepada Luca. Berbaju gaun labuh yang lusuh serta rambutnya yang kusut masai berwarna perak itu membuatkan Luca bersimpati dengan gadis cilik itu. Luca mengeluarkan sekeping syiling emas dari beg uncang yang diikat di pinggangnya dan memberikan kepada gadis cilik itu.
"Maaf, saya tidak mempunyai syiling perak yang mencukupi untuk dipulangkan. Hmm.." Luca mengambil bunga ros itu dari tangan gadis cilik itu, mematahkan tiga suku tangkai bunga ros itu dan menyelitkan di telinga gadis cilik itu. "Tidak perlu dipulangkan bayaran. Saya telah beli bunga ros itu." Luca melemparkan senyuman kepada gadis cilik itu. "Baru nampak seri seorang penjual bunga." Muka gadis itu kemerahan. "T-terima kasih, t-tuan." Gadis cilik itu melambaikan tangan kepada Luca dan pergi menjual bunganya kepada manusia Alas yang lain dengan senyuman dibibir. Anak kecil turut berniaga kerana mahu menampung kehidupan dan membayar cukai, hati Luca berkata.
Luca juga dapat melihat Andre dikelilingi gadis-gadis yang menjual bunga. Andre sepatutnya melihat gadis lain selain Elena, Luca tersenyum sendiri. Luca juga dapat melihat pelbagai  jenis hiburan yang disediakan. Lakonan jalanan, pemuzik jalanan, penyair jalanan dan beberapa hiburan yang menarik untuk dipersembahkan kepada pengunjung bazaar. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan pasangan masing-masing dan mengunjungi bazaar bersama-sama. Ada tiga bahagian Bazaar Iris: Bahagian tengah Bandar Kristall, Di hadapan pintu masuk Bandar Kristall dan di pintu keluar Bandar Kristall.  Apa yang menarik perhatian Luca adalah di bahagian tengah dikuasai oleh golongan berada manakala golongan peniaga kecil berada di hadapan pintu masuk dan juga pintu keluar.
“Sini bahagian hartawan dan bangsawan. Kalau kau nak berniaga di sini, bayar 100 keping wang emas!” Luca terdengar seseorang sedang mengugut seorang gadis yang membawa sebakul lilin yang berbentuk bunga. “Tuanku Ingram tidak pernah mengenakan bayaran untuk pada waktu Bazaar Iris! Kenapa tiba-tiba sahaja ada pihak yang mengutip bayaran tanpa pengetahuan pihak istana?!” Luca bersuara dengan lantang. Para pengunjung yang berada disitu mengalihkan pandangan mereka kepada empunya suara. “Berani kau nak bersuara disini! Kau ingat kau siapa ha?!” lelaki yang sedang gadis yang membawa bakul itu mengubah haluannya ke arah Luca.
 “M-M-Maafkan saya!” gadis itu bersembunyi di belakang Luca. “Siapa mereka ini?”
“Mereka ditugaskan oleh gabenor Dian untuk menjaga bahagian tengah bandar Kristall apabila Bazaar Iris bermula. Gabenor Dian tidak mahu membenarkan golongan rakyat marhaen mendapat tempat di bahagian tengah.” Luca terkejut mendengar penjelasan dari gadis itu. “Rupanya, gabenor Dian salah guna kuasa. Tch!” Para pengunjung mula membanjiri bahagian tengah Bazaar Iris untuk melihat apa yang berlaku. Menyedari keadaan itu, Shin yang berada di pintu hadapan segera ke bahagian tengah apabila terdengar riuh rendah yang mengatakan ada pergaduhan bakal berlaku di bahagian tengah bandar.
Dua lelaki itu segera mengeluarkan pedang mereka.”Bukankah undang-undang melarang penggunaan pedang di kawasan bandar?!” Luca menjerit. “Kami diberi kebenaran oleh tuan gabenor untuk membawa pedang di dalam bandar. Dengan cara ini, senang untuk kami mengutip cukai. Hehe.” Lelaki yang pertama itu tersengih. “Berundur segera.” Luca mengarahkan gadis itu untuk berundur. “Tidak! Atas apa yang awak telah lakukan ini. Saya tidak akan tinggalkan awak!”
“Luca!” Andre menjerit dan mendekati Luca setibanya dia disitu. “Ohhh. Dia bawa kawan.” Lelaki kedua pula tersengih. “Andre, sila jaga gadis itu.” Luca melangkah ke hadapan dan membuka ikatan pedang di pinggangnya. Uncang emasnya dibiarkan jatuh ke lantai. “Mari kita ke belakang.” Andre membawa gadis itu sedikit ke belakang untuk memberikan ruang kepada Luca.
Dengan segera, dua lelaki itu menyerang Luca. Lelaki pertama segera menghunuskan pedang ke arah badan Luca dan dapat ditahan oleh Luca dengan menggunakan sarung pedangnya. Lelaki kedua menyerang Luca dari sisi kanan Luca. Dengan segera, Luca menarik keluar pedangnya dari sarung dan menepis serangan di bahagian kanannya dengan menterbalikkan cara pegangan pedangnya. Tepisan serangan itu menyebabkan lelaki kedua itu melangkah beberapa tapak ke belakang. Luca segera menendang lelaki yang sedang cuba menyerang dari hadapannya itu.
“Tuan Putera!” Shin menjerit dan terus melangkah ke belakang Luca tanpa mempedulikan pengunjung yang membanjiri kawasan itu. Lelaki yang kedua itu menghayunkan pedang ke belakang Luca dan ktang! Shin telah menahan pedang lelaki itu menggunakan pedangnya. “Saya tahu Jeneral akan menjaga belakang saya!” Luca berseloroh. “Huh! Mana ucapan terima kasih?” Shin tersengih. “Sila beritahu Gabenor Dian, masanya telah tamat. Pihak istana akan mengambil tindakan terhadap gabenor Dian berkenaan dengan tidak membenarkan peniaga kecil berniaga di kawasan tengah Bazaar Iris serta memberi keizinan menggunakan pedang di kawasan bandar tanpa sebarang kata kepada pihak istana!” Lantang Luca bersuara. Selama ini, dia tidak mengetahui bahawa rakyatnya hidup dalam ketakutan dan kesusahan. Sewaktu perjumpaan dengan rakyat, tidak ada sesiapa yang mengutarakan bahawa gabenor mereka mengupah orang untuk mengutip cukai dan mengizinkan mereka menggunakan pedang di kawasan bandar.
“Tak guna!” Kedua-dua lelaki itu terus menyerang Shin dan juga Luca. Serangan demi serangan dilancarkan oleh kedua lelaki itu tetapi dapat dielak dengan mudah oleh Shin dan Luca. Sewaktu berlawan, kepala Luca sakit secara tiba-tiba dan sepasang sayap putih yang berseri muncul dan membuatkan para pengunjung serta merta tunduk hormat apabila terlihat sepasang sayap tersebut. “P-putera Mahkota!” kedua-dua lelaki itu segera melarikan diri apabila melihat sayap putih itu. Luca dan Shin menyimpan kembali pedang mereka ke dalam sarungnya.
“Adakah kita perlu mengejar mereka, tuan putera?”
“Tidak perlu. Saya tidak menyangka begini rupanya cara Dian mendapatkan wang. Kita harus pulang ke istana dan melaporkan kejadian ini kepada Tuanku Ingram!” sayap dibelakang Luca hilang begitu sahaja. Sayap yang hilang itu menyebabkan kepala Luca sakit dan berdenyut-denyut. Luca memegang kepalanya yang sakit itu. Andre dan gadis itu segera menghampiri Luca. Para pengunjung berbisik sesama sendiri setelah melihat kejadian yang tidak diingini itu.
“Tuan-tuan dan puan-puan serta para peniaga sekalian. Sila kembali bersuka ria dan bergembira di Bazaar Iris yang penuh dengan warna dan meriah. Apa yang berlaku itu tadi hanyalah demi keselamatan tuan-tuan, puan-puan dan para peniaga sekalian. Diharap hadirin sekalian dapatlah menjalankan semula aktiviti anda. Terima kasih.” Andre bersuara agar para pengunjung disitu tidak perlu rasa takut dan was-was untuk beriadah di Bazaar Iris. Mendengar kata-kata dari Andre, sedikit demi sedikit pengunjung di situ menyambung aktiviti mereka semula.
“Putera tak apa-apa?” Luca menggelengkan kepalanya. Kepalanya masih lagi sakit dan berdenyut. “Terima kasih atas bantuan yang diberikan itu. Budi baik tuan-tuan tidak mampu untuk saya membalasnya.” Gadis itu menyerahkan uncang Luca yang dikutipnya dan menyerahkannya kepada Luca.
“T-tidak m-mengapa itu..,” Luca rebah ke lantai dan tidak sedarkan diri. “Kuasanya hilang kawalan apabila berlawan tadi. Ini bukan kali pertama berlaku. Cik gadis, jangan risau ye.” Shin tersenyum simpul dan mengendong Luca dibelakangnya. Andre mengambil pedang serta uncang emas Luca dari gadis itu. “Hmm.. Ada rumah tumpangan yang masih kosong ke pada waktu ini?”
“Rakan saya ada rumah tumpangan, mungkin boleh bermalam disitu.” Gadis itu menunjukkan jalan ke rumah tumpangan rakannya itu.
--------------------
Andre dan Shin terkejut mendengar cerita dari gadis yang bernama Maya itu. “Tidak disangka! Harapkan pegar, pegar memakan padi!” Andre melemparkan pandangannya ke arah Luca yang masih tidak sedarkan diri itu. “Di rumah saya sekarang tinggal ayah, ibu dan kakak saya, Miya. Adik-adik saya telah dijual dan dijadikan hamba oleh Tuan Dian kerana keluarga kami tidak dapat membayar cukai penuh.” Maya menekap mukanya dengan kedua belah tangannya. Shin memegang bahu Maya dan berkata, “kami akan usaha yang terbaik untuk memulihkan kerajaan kita ini!”
Perlahan-lahan Luca membuka matanya. “Luca!” Dia menoleh ke arah empunya suara yang memanggilnya. “Bangun pun tuan putera kita ni,” Shin berseloroh. Perlahan-lahan Luca bangun dari katil. “Kita perlu pulang ke istana dengan segera! Saya perlu berbincang dengan ayahanda..,” Luca hilang imbangan. “Bawa bersabar, tuan putera. Kita masih perlukan bukti.” Shin menyambut Luca dari terjatuh. Luca membaringkan dirinya kembali ke katil. “Terima kasih banyak-banyak, tuan putera kerana telah menyelamatkan saya.” Maya tunduk hormat. “Itu sudah menjadi tugas saya untuk menyelamatkan rakyat saya.” Luca membalas dengan senyuman. “Maya, bagaimana dengan bazaar? Bukankah Maya ada membuka gerai jualan?” Andre menegur.
Maya segera teringat yang dia telah meninggalkan gerainya agak lama. “Maafkan saya dan terima kasih.” Dengan segera, Maya meninggalkan rumah tumpangan tersebut. “Nampaknya putera masih belum dapat mengawal kuasa dengan betul.”
“Keluar dan hilang tanpa disuruh. Nampaknya masih jauh lagi perjalanan untuk menguasai kuasa sayap ini. Haih,” Luca mengeluh. “Putera, berdasarkan pengamatan saya, kemungkinan besar, Dian telah mengetahui kita ada disini.” Shin bersuara. “Saya cadangkan agar kita pulang ke Istana dan berbincang dengan Tuanku Ingram sebelum tindakan dilakukan.” Giliran Andre bersuara. Dia telah pun duduk di kerusi yang disediakan. Shin duduk bersandar di pintu. “Memang itu tindakan yang perlu kita lakukan. Kita akan pulang ke Istana sekarang!”

“Itu tidak akan berlaku. Kita akan pulang ke istana esok pagi. Dengan keadaan putera sekarang ini akan melambatkan lagi perjalanan kita. Apa kata putera rehatkan diri putera dan anggaplah ini cuti untuk tuan putera yang rajin bekerja.” Shin mengenyitkan matanya kepada Luca. 

1 comment: