06 June 2015

~Con Alas~ Legenda Bersayap: Bab 1

Bab 1
            “Saya mencadangkan untuk kita bangunkan satu pusat ilmu di salah satu jajahan kerajaan kita untuk membenarkan rakyat belajar membaca, mengira serta menulis disitu.” kedengaran para gabenor berbisik sesama sendiri. Pada mereka, cukuplah hanya golongan atasan yang berilmu. Golongan rakyat tidak perlu berilmu kerana sekiranya golongan rakyat berilmu, maka golongan rakyat akan cuba untuk merebut kuasa. Gabenor yang hadir adalah dari Jajahan Blau di barat, Jajahan Lila di utara, Jajahan Azul di timur, Jajahan Grun di selatan serta Jajahan Kristall sebagai ibu kerajaan Arco Iris di bahagian tengah.
            “Tidak cukupkah golongan atasan berilmu, Putera Lucadiese?”Gabenor Dian dari jajahan Kristall bersuara.  “Bila rakyat berilmu, nmereka akan mula merebut kuasa, Tuan Putera!” giliran Gabenor Ferrous dari jajahan Grun pula bersuara. “Ilmu ini..” belum sempat Luca menghabiskan ayatnya, seorang gabenor dari Jajahan Lila, Adi Rem bangun. Semua mata tertumpu kepada Adi Rem. “Pada pandangan patik, pusat ilmu itu pasti akan menjadi satu pembaziran. Bukankah lebih bagus sekiranya pihak istana mengutip cukai lebih tinggi dari sekarang? Apa yang patik nampak, kerajaan kita begitu mundur berbanding dengan Kerajaan Sire. Walaupun Kerajaan Sire diperintah oleh wanita dan mempunyai sumpahan, tetapi dari aspek pembangunan dan kemajuan, mereka sangat ke hadapan. Adakah Tuan Putera tidak mementingkan pembangunan?” Dian dan Ferrous mengangguk menandakan mereka setuju dengan kata-kata Adi Rem. Dari pemerhatiannya, dua gabenor itu kelihatan seperti sangat menghormati Adi Rem. Tiba-tiba, kata-kata Bendahara Cornelius terlintas di fikirannya.
“Adi Rem, seorang gabenor yang sangat berpengaruh di jajahan Grun dan Kristall. Ini kerana Adi Rem sentiasa membantudua  jajahan itu dari aspek cukai. Cukai yang dikenakan di setiap jajahan adalah berbeza. Jajahan Lila mampu memberikan cukai yang tinggi kerana hasil tanaman serta hasil bumi. Disebabkan itu, jajahan Grun yang tidak mampu bayar cukai, akan berjumpa dengan Adi Rem untuk berbincang bagaimana caranya untuk meraka dapat membayar cukai.”
            “Saya mengusulkan buah fikiran saya ini kerana, saya mahu rakyat di kerajaan ini boleh membaca, mengira serta menulis. Dengan adanya ilmu, rakyat akan melakukan sesuatu bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka dan mampu untuk membayar cukai. Saya tahu ada jajahan yang tidak mampu untuk membayar cukai kerana hasil tanaman dan hasil bumi yang hanya cukup untuk jajahan tersebut. Dengan terbinnya pusat ilmu, jajahan yang mempunyai pusat ilmu itu akan menjadi sebuah pusat tumpuan kerana rakyat dari kerajaan dan empayar lain akan datang untuk menuntut ilmu atau melakukan perniagaan disitu. Pihak istana juga akan membantu dari segi dana dan tidak akan mengenakan cukai terhadap jajahan tersebut sehingga jajahan tersebut mampu berdiri dengan megahnya di Arco Iris!” sekali lagi dewan musyawarah Arco Iris dipenuhi dengan suara bisikan diantara para gabenor. Andre menggelengkan kepala melihat gelagat para gabenor dihadapannya itu. Dia berdiri di penjuru kanan dewan sebagai pengiring khas Lucadiese. Muka Adi Rem merah seperti cili akibat menahan kemarahan. Dia mahu Lucadiese menurut telunjuknya seperti Puteri Mahkota sebelum ini.
“Adakah dengan adanya ilmu, mutu hidup rakyat kita dapat ditingkatkan? Adakah dengan ilmu, negara kita boleh membangun?” Adi Rem bersuara kembali. Dia tidak mahu gabenor yang lain terutamanya Kristall dan Grun terpengaruh dengan apa yang diperkatakan oleh Lucadiese.
            “Bagaimana dengan kehidupan tuan-tuan sekalian? Bukankah tuan-tuan sekalian berilmu? Bukankah disebabkan ilmu tuan-tuan sekalian maka tuan-tuan boleh berada di dewan musyawarah ini? Adakah kehidupan tuan-tuan sekarang ini tidak bermutu?” Lucadiese tersenyum sinis. Mendengar sindiran Lucadiese membuatkan Adi Rem membisu.
“Saya mahu memberikan peluang kepada rakyat untuk merasai kesenangan dan kemewahan seperti mana anda semua rasa. Rakyat juga berhak mendapat pangkat dan bekerja dengan pihak kerajaan. Mereka juga berhak untuk membaca dan menulis agar mereka dapat menulis surat serta berhubung dengan ahli keluarga yang tinggal berjauhan. Pada pengamatan saya, hanya keluarga diraja, keluarga bangsawan, hartawan, para peniaga, tentera dan juga keluarga ahli gabenor sahaja yang tahu membaca, menulis. Bagaimana dengan golongan rakyat marhaen? Mereka ditindas oleh golongan bijak pandai seperti kita ini. Mereka menuruti apa yang diperkatakan oleh golongan bijak pandai sedangkan golongan bijak pandai ini tidak menuruti apa yang dikatanya." Luca memerhatikan riak wajah gabenor yang berada di kiri dan kanannya itu. Dia berharap apa yang diperkatakannya itu jelas dan sampai ke hati dan akal gabenornya itu.  
            “Berikan kami tempoh masa 3 bulan untuk berfikir. Perkara ini tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Diharap Tuan Putera dapat mempertimbangkan tempoh masa yang diminta. Kami juga meminta agar Tuan Putera Lucadiese untuk menyiapkan kertas kerja dan membentangkannya pada perjumpaan tersebut.” Gabenor Hyekal dari Jajahan Blau bersuara setelah mendapati gabenor yang lain hanya berbisik diantara satu sama lain. “Baiklah. Saya akan sediakan apa yang diminta oleh tuan-tuan semua dan dalam masa 3 bulan lagi, kita akan bertemu semula di sini. Saya akan kirimkan utusan ke setiap jajahan apabila tiba masanya. Ada persoalan atau perkara yang perlu dibincangkan lagi?” Luca memandang setiap gabenor yang berada di kiri dan kanannya itu.. Gabenor Rishah dari Jajahan Azul bangun dan menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda penghormatan kepada seorang putera. “Kerajaan Umbra semakin berani untuk mendekati sempadan Kerajaan Arco Iris. Mereka meminta kita menyerahkan hak penjagaan pintu dua dunia yang terletak di antara sempadan Arco Iris dan juga Umbra. Mengikut perjanjian, musyawarah di antara setiap negara di dunia Alas sepatutnya telah dijalankan bagi memilih penjaga pintu dua dunia yang baru.”
            “Tuanku Haidiese masih tidak memberikan kata putus mengenai perkara ini kepada saya. Buat masa ini, Tuanku Haidiese berada di Kerajaan Sire atas urusan rasmi dengan Permaisuri Rhea Lan. Sekiranya tiada isu yang ingin diutarakan, saya ingin menutup musyawarah ini. Ada apa-apa isu yang ingin dibangkitkan, tuan-tuan sekalian?”
            “Tuan Putera, berkenaan dengan isu air di jajahan Azul, apakah yang kami dapat lakukan sebelum meminum air dari sungai? Ini kerana rakyat jajahan Azul mengalami demam dan pembuangan air besar secara kerap yang amat membimbangkan.” Gabenor Rishah bersuara lagi.
“Saya telah bertemu dan berbincang dengan Tabib Diraja. Menurut tabib berkenaan, cara yang paling selamat untuk meminum air dari sungai adalah dengan memasak air tersebut sebelum kita meminumnya sepertimana kita memasak air untuk membuat minuman panas. Gabenor Rishah, diharap pihak tuan dapat memberitahu rakyat di jajahan Azul bahawa mereka perlu memasak air setiap kali mahu meminum air dari sungai.” Gabenor Rishah memberi tunduk hormat kepada Luca dan duduk semula di tempatnya. “Ada apa-apa isu lagi?” Para gabenor menggelengkan kepala masing-masing. “Dengan itu, saya menutup musyawarah ini dengan ucapan ribuan terima kasih. Saya menanti pertemuan kita 3 bulan akan datang.” Luca bangun dari tempat duduknya yang berada di bahagian tengah meja bulat dewan musyawarah dan menuju ke pintu keluar bersama Andre.
            Setelah Luca keluar dari dewan tersebut, Adi Rem bersuara dengan lantangnya, “berani sungguh dia! Isu cukai yang semakin berkurangan dia tidak mahu mengambil tahu! Tapi, pusat ilmu yang mahu dibuatnya!” Ferrous dan Dian memandang Adi Rem yang sedang kemarahan itu. Rishah bangun dari tempat duduknya, dan berkata, “dengan adanya pusat ilmu rakyat dapat lagi meningkatkan mutu dan taraf hidup mereka dan rakyat akan tahu apa yang mampu mereka lakukan untuk menyenangkan keluarga masing-masing. Dengan ilmu juga, rakyat yang berasal dari keluarga bukan peniaga juga mampu berniaga dan mungkin juga mampu menjadi gabenor menggantikan kita yang sememangnya dari keluarga bangsawan.” Rishah tersenyum sinis. Setelah memberi hormat, Rishah keluar dari dewan tersebut. Dia tidak mahu berada di dalam dewan bersama orang yang merendahkan ilmu.
“Adakah tuan-tuan setuju dengan apa yang diperkatakan oleh Putera Lucadiese? Apa akan jadi pada jajahan tersebut setelah pusat ilmu muncul? Adakah tuan-tuan mahu melihat rakyat dari kerajaan dan empayar lain berada di tanah kita? Bagaimana dengan rancangan kita untuk membentuk kerajaan kita sendiri jika tuan-tuan bersetuju dengan cadangan Putera Lucadiese?” Adi Rem masih tidak berpuas hati lagi. “Putera Lucadiese berpandangan jauh. Beliau tahu dengan adanya ilmu, rakyat mampu menyara dan menukar takdir keluarga mereka dan cukai juga akan dapat dibayar. Pulangannya sangat berbaloi tapi jangkamasanya mungkin dalam masa 10 ke 20 tahun.” Giliran Gabenor Hyekal bersuara. Dia juga bangun dari tempat duduknya dan beredar keluar dari dewan tersebut. Seorang demi seorang meninggalkan dewan tersebut dan meninggalkan Adi Rem bersendirian.
“Tunggu dan lihat, Putera Lucadiese!” Adi Rem mendengus serta meninggalkan dewan tersebut.
----------
            Satu keluhan berat dilepaskan oleh Lucadiese setelah tiba di bilik bacaannya. Andre hanya tersenyum. Lucadiese segera melabuhkan punggungnya di kerusi panjang yang di sediakan untuk tetamu di bilik bacaannya itu. “Terasa begitu letih menghadiri musyawarah bersama dengan para gabenor. Dah 3 kali bertemu mereka, tapi masih tidak dapat membiasakan diri lagi dengan suasana yang tegang. Bagaimanalah Ireena boleh melakukan semua ini sewaktu dia Puteri Mahkota?” Mata Lucadiese memandang Andre yang sedang sibuk menyediakan teh untuk dirinya.
“Melihat perangai mereka yang tidak mahu berubah, membuatkan saya menggelengkan kepala. Dengan adanya pusat ilmu itu, masa depan jajahan mereka akan lebih terjamin dari sekarang. Bagaimana Tuan Putera boleh mendapat ilham untuk membuka pusat ilmu?” Air teh bunga kekwa yang telah disediakan di dalam cawan itu, dihulur kepada Lucadiese dan telah disambut dengan ucapan terima kasih. Soalan Andre membuatkan Lucadiese terdiam. Dia mahu menceritakan segalanya kepada Andre, bagaimana dia mendapat ilham untuk membuka pusat ilmu di kerajaannya, tapi dirasakan belum tiba masanya. Beberapa ketika kemudian, barulah Lucadiese menjawab pertanyaan Andre.
            “Sewaktu mengikut Tuanku Haidiese ke Kerajaan Sire dan Empayar Gladius, saya dapat melihat pembinaan, perniagaan, pelukis, penglipur lara serta kehidupan yang pelbagai di kerajaan dan empayar tersebut. Dari segi perniagaan, mereka tidak menghadkan perniagaan rakyat mereka kepada perniagaan yang berasaskan makanan dan pakaian. Pelbagai perniagaan yang menarik dan unik yang ada di Kerajaan Sire dan juga Empayar Gladius. Rakyat mereka boleh menulis dan membaca serta menggunakan ilmu itu untuk menanggung keluarga.” Luca menghirup minuman yang telah disediakan itu. Andre tersenyum. Dia tidak menyesal meninggalkan keluarga Von Silva untuk berkhidmat dengan Luca. Keluarga Von Silva telah berkhidmat dengan keluarga diraja Arco Iris sejak turun temurun tetapi semenjak Puteri Ireena mengkhianati Arco Iris, keluarga Von Silva telah menarik diri dan mengikut Puteri Ireena berhijrah ke Kerajaan Umbra kecuali Andre.
            “Saya mendoakan agar pusat ilmu ini dapat dibuka dengan jayanya di kerajaan kita. Betul ke dana akan diberikan kepada jajahan yang mahu bekerjasama dengan Putera untuk pusat ilmu ini?” Andre membelek buku notanya. Dia melihat jadual Lucadiese yang telah tersusun dengan tugasan yang perlu dilakukan.
“Tepat sekali. Membuka sebuah pusat ilmu  akan menelan perbelanjaan yang sangat tinggi. Kita perlu membeli buku, alatan menulis, buku rujukan, pembinaan pusat ilmu, kelengkapan pusat ilmu itu serta upah pereka dan pembina pusat ilmu tersebut. Sekiranya pihak Istana tidak membantu, pusat ilmu ini tidak akan berjaya.” Luca menghulurkan semula cawan yang telah kosong itu kepada Andre dan disambut juga dengan ucapan terima kasih.  Andre meletakkan cawan tersebut di sebuah meja di sudut bilik bacaan itu.
Knock! Knock! Pintu bilik bacaan Luca diketuk. Andre segera membuka pintu untuk tetamu yang hadir itu. “Oh! Bendahara Cornelius! Jemput duduk.” Lucadiese bangun dari tempat duduknya dan berpindah ke kerusi yang berhampiran meja bacaannya. Cornelius memberi tunduk hormat sebelum duduk di kerusi panjang yang disediakan itu. “Bagaimana dengan pertemuan bersama para gabenor? Ada kata sepakat atau mereka meminta untuk memikirkan dulu mengenai pembinaan pusat ilmu itu?” dengan segera Cornelius membuka bicara. Mendengar pertanyaan Cornelius itu membuatkan Lucadiese melepaskan keluhan sekali lagi. Andre menuju ke meja kecil yang berada di sudut bilik yang disediakan untuk membuat minuman bagi tetamu yang hadir ke bilik bacaan untuk bertemu dengan Luca.
“Mereka meminta tempoh masa 3 bulan untuk berfikir. Dari pandangan mata, Hyekal dan Rishah akan menyokong kerana mereka berdua menyukai dan menyayangi ilmu. Gabenor yang lain masih dalam keadaan ragu-ragu dan Adi Rem sangat membangkang keras berkenaan isu ini.” Lucadiese bersuara. “Saya sarankan agar tuan putera mendekati Rishah dan Hyekal. Menurut laporan dari perisik saya, Rishah dan Hyekal ini banyak membantu rakyat di jajahan mereka. Selain dari itu, mereka turut mengadakan kelas ilmu percuma di kediaman rasmi gabenor di jajahan mereka. Tuan putera juga boleh mendapatkan pandangan mereka secara peribadi sekiranya tuan putera bertemu dengan mereka. Pada pandangan saya, mereka mampu membantu tuan putera untuk merealisasikan impian tuan putera.” Andre menghulurkan secawan teh kepada Cornelius.
            “Sebenarnya bendahara, saya ingin melawat Jajahan Lila. Saya mahu melihat sendiri bagaimana Gabenor Adi Rem mentadbir jajahannya.   Mana tau, sedikit sebanyak saya boleh pelajari selok belok pentadbiran daripadanya. Saya ada lihat rekod percukaian dan saya sangat kagum dengan bayaran cukai dari Jajahan Lila.” Luca membelek rekod percukaian yang berada di atas mejanya. Cornelius menikmati teh yang dibuat oleh Andre itu. “Saya suka teh ini. Adakah teh ini dicampurkan dengan daun pudina? Mulut terasa segar.” Andre tunduk sedikit kepalanya tanda memberi hormat kepada Cornelius. “Ya, saya campurkan dengan daun pudina agar Bendahara akan rasa lebih segar selepas seharian bekerja.” Cornelius menghulurkan cawan yang telah kosong itu dengan ucapan terima kasih. Andre mengambil cawan itu dan meletakkan di atas meja di sudut bilik bacaan itu.
            “Adakah tuan putera fikir sudah tiba masanya untuk tuan putera melihat keadaan kerajaan yang sebenar?” Cornelius memandang Luca yang sedang membelek rekod percukaian Jajahan Lila. Mendengar soalan Cornelius itu, Luca meletakkan kembali rekod yang dibeleknya itu. Luca bangun dan menghadap ke tingkap di belakang meja bacaannya. Dia dapat lihat dayang-dayang dan para tentera senyum dan bermain mata sesama sendiri. Dia juga dapat melihat ketua dayang memarahi dayang-dayang yang bermain mata dengan para tentera itu. Luca tersenyum sendiri melihat gelagat mereka yang berada di luar tingkap itu. “Apa akan jadi sekiranya dunia Alas dan dunia manusia bergabung? Adakah senyuman akan hilang?” Luca masih memerhatikan pemandangan di luar tingkap. Dia masih teringat pertemuannya bersama dengan Syiira di dunia yang penuh dengan pembangunan dan teknologi. Rupa mereka sama dan yang hanya membezakan mereka adalah mereka tidak mempunyai sayap, masa yang pendek dan tidak mempunnyai kuasa magis tetapi mereka masih mampu untuk bergerak ke tempat yang jauh dan dunia mereka jauh lebih maju dari dunia Alas.
            “Apa maksud tuan putera? Jangan kata..” Andre begitu terkejut dengan apa yang difikirkannya. Begitu juga Cornelius. “Adakah tuan putera telah menjejakkan kaki ke dunia manusia?!” Andre menyambung kata-katanya yang teputus tadi menjadi satu persoalan. Air muka Luca berubah. Dia masih lagi tidak mengalihkan pandangannya “Jadi ilham yang tuan putera katakan pada saya itu..”
            “Jangan membuat kesimpulan secara terburu-buru. Saya hanya bercakap mengenai apa yang saya fikirkan sahaja.” Luca mengalihkan pandangannya kepada Andre dan Cornelius. Bukan dia tidak mempercayai Cornelius dan Andre tetapi masih terlalu awal untuk membuka kisah itu. “Andre, ke mana seharusnya kita pergi selepas ini? Saya dapat rasakan yang kita telah terlewat untuk melakukan sesuatu.” Andre segera membelek rekod harian Luca. “Ah! Tuan Putera telah terlewat untuk bertemu dengan Permaisuri Arleena dan juga Puteri Elena di bilik bacaan Permaisuri Arleena di sebelah kamar takhta.” Andre mengemas cawan-cawan di atas meja sudut bilik bacaan itu. Cornelius bangun dari tempat duduknya dan menuju ke pintu. “Saya juga perlu beredar kerana masih banyak kertas kerja yang memerlukan penyeliaan. Terima kasih atas masa tuan putera.” Cornelius melemparkan senyuman, membuka pintu dan keluar dari bilik bacaan tersebut.

            “Maaf, Andre. Bila sampai masa nanti, saya akan ceritakan semua perkara. Mari kita pergi berjumpa dengan Bonda dan juga Elena. Mesti kena tegur kerana kelewatan oleh bonda.” Andre dan juga Luca segera beredar dari bilik bacaan Luca.

No comments:

Post a Comment