21 March 2016

~Con Alas~ Lagenda Bersayap Bab 6

Bab 6
            “Terima kasih kerana sudi datang ke jajahan saya yang hina ini, Tuan Shion dan Puteri Ireena.” Adi Rem mempersilakan dua tetamunya itu duduk di sofa. Kebencian terhadap Adi Rem jelas terpancar di wajah Ireena. “Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kepada Puteri Ireena kerana selama tuan puteri menjadi Puteri Mahkota, saya banyak memaksa tuan puteri supaya menerima pandangan dan pendapat saya tanpa menghiraukan pandangan orang lain.” Adi Rem memberi tunduk maaf kepada Ireena.
            “Hmm. Bukan memaksa menerima pendapat dan pandangan, tetapi kau membuat aku seperti boneka. Segala apa yang kau mahu, semua aku turuti kerana masa itu aku tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dan, bukankah Adi Rem sendiri katakan bahawa wanita Alas tidak berhak menguruskan kerajaan? Kononnya, pemikiran wanita amat cetek dan hanya digunakan untuk melayan kehendak suami dan keluarga. Bukankah begitu, Adi Rem?” Lantang dan pada masa yang sama menyindir Adi Rem.
Muka Adi Rem merah padam. “Apa yang diperkatakan oleh Senohra Ireena adalah benar. Wanita tidak kira dari bangsa apa berhak untuk mencampuri dan menguruskan hal ehwal kerajaan. Mereka juga sebahagian dari rakyat.” Irm bersuara. Ireena tersenyum mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Irm. “Wanita lebih banyak melakukan kesilapan di dalam membuat keputusan serta mereka tidak mempunyai pertimbangan dalam memilih antara yang benar dan salah. Adalah memalukan sekiranya kita mempunyai wanita untuk memimpin kerajaan.”
“Jika begitu apa yang diperkatakan oleh Adi Rem, maafkan saya. Tuanku Rygel tidak akan memberikan kerjasamanya kerana Adi Rem telah memandang rendah kepada pegawai yang dilantik mewakili Tuanku Rygel.” Ireena segera menoleh dari Adi Rem dan berlalu pergi. “Maafkan saya atas kelantangan suara saya kerana berbicara mengenai sesuatu yang tidak ada kaitan dengan perbincangan hari ini!” Adi Rem segera memohon maaf.
“Jangan sangka saya masih Ireena yang kau boleh ambil kesempatan dan boleh kawal seperti dulu!” Ireena memandang Adi Rem dengan satu pandangan yang penuh dengan kebencian. “Sayangku, sila bawa bersabar. Tuan gabenor, maafkan perilaku Senohra Ireena. Dia masih tidak mampu untuk melupakan perkara yang lepas.” Irm berdiri di antara Ireena dan juga Adi Rem. “Pada pendapat saya, kita perlu duduk kembali untuk berbincang berkaitan kerjasama kita.” Irm menyambung dan memandang Ireena dengan pandangan yang tajam. Ireena menundukkann kepalanya sedikit. “Jika begitu, marilah kita berbicara di halaman singgahsana saya yang tidak seberapa ini.” Adi Rem membawa Ireena dan Irm ke arah halaman rumahnya. “Sayangku, sila jaga perilaku. Kita tidak mahu mencemarkan nama Tuanku Rygel.” Irm berbisik ke telinga Ireena.
--------------------
“Betul ke ini kediaman rasmi Gabenor Blau?” Elena memandang Ryan. Dia agak terkejut melihat kediaman tersebut. Tidak seperti kediaman rasmi Gabenor Kristall. Kediaman rasmi Gabenor Blau tidak mempunyai laman dan hanyalah sebuah rumah yang dibina dari papan. “Bukankah semua kediaman rasmi gabenor dibina oleh pihak istana? Kenapa kediaman rasmi Gabenor Blau seperti ini?” Elena mengalihkan pandangan ke rumah papan yang berada di hadapannya. Ryan mengetuk pintu rumah itu. Beberapa ketika, barulah pintu itu dibuka. “Ryan! Apa khabar? Lama tidak jumpa sejak kau berhijrah dan menjadi seorang pegawai tentera,” lelaki yang membuka pintu terus memeluk Ryan tanpa mempedulikan Elena yang berada di sebelah Ryan. Elena agak terkejut melihat lelaki itu memakai pakaian yang sangat asing baginya. “Aku sihat. Tepat sekali tekaan aku. Kau memang tidak akan ada di kediaman rasmi. Jadi, kau mesti bersama dengan Rishah kan?” Ryan meleraikan pelukan dan menjengah ke dalam rumah.
“Hahahaha. Kau memang adik yang bijak! Aku kagum ada adik seperti kau!” lelaki itu galak ketawa. “Ehem..” Elena berdehem membuatkan Ryan tersentak. “Ah, Puteri Elena!” Lelaki yang memiliki rambut perak separas pinggang dan diikat kemas itu segera tunduk hormat. Ryan hanya menggarukan kepalanya yang tidak gatal itu. “Kau orang kalau tidak memekak.. Ah,” seorang lagi lelaki muncul dan terus tunduk hormat apabila melihat Elena. “Puteri Elena hendak berjumpa dengan abang. Memandangkan waktu begini abang tidak akan ada di kediaman rasmi, saya bawa Puteri Elena ke mari. Hehehe.” Ryan tertawa paksa. “Apa yang membuatkan tuan puteri ke jajahan ini?” Hyekal segera menyoal. Ekspresi wajahnya berubah. “Apa kata tuan-tuan jemput saya masuk dulu? Takkan nak berbincang hal kerajaan di luar ini, kan?” Muka Hyekal kemerahan. Ryan dan Rishah hanya tersengih. “Jemput masuk, tuan puteri.”
Barang di dalam rumah itu tersusun rapi dan kemas. Elena melabuhkan punggungnya di salah satu kerusi yang berada di rumah tersebut. “Saya tidak rasa yang tuan puteri patut datang ke sini.” Rishah bersuara. Dia memiliki rambut berwarna perak yang melebihi paras bahu dan disikat rapi. Hyekal menutup pintu dan tingkap rumah papan itu. “Selamat datang ke jajahan Blau dan selamat bertemu. Ini bukan kali pertama kita bertemu tetapi tuan puteri datang ke mari sendirian, maka ini kali pertama kita bertegur begini,” Hyekal memulakan bicaranya. “Gabenor Rishah dan saya berada disini adalah kerana kami berbicara mengenai tugasan dan juga mengenai jajahan kami.” Hyekal meneruskan kata-kata tanpa diminta. “Kenapa bukan di kediaman rasmi?”
“Kediaman rasmi bukanlah tempat yang sesuai untuk perbincangan beberapa perkara sulit. Ada yang memasang telinga tanpa kita sedari.” Rishah menjawab pertanyaan Elena itu. Ryan mengambil tempat di luar pintu rumah itu. Urusan kerajaan bukanlah urusan seorang tentera. “Adakah tuan putera telah memulakan pengembaraannya?” Soalan Rishah membuatkan Elena terkejut. “Bagaimana..?”
“Kami mempunyai maklumat tersendiri. Yang itu, tuan puteri tidak perlu tahu.Jadi, apa sebenarnya tujuan tuan puteri ke mari?” Hyekal memandang Elena yang duduk berhadapan dengannya. Rishah duduk di sebelah kanan Hyekal. Elena berdehem. “Sebenarnya, tujuan saya ke mari adalah ingin tahu bagaimana kamu berdua mampu mentadbir jajahan Azul dan Blau pada usia begitu muda. Sepanjang Ireena menjadi puteri mahkota, saya tidak pernah ambil peduli mengenai hal ehwal kerajaan Arco Iris.”
Rishah dan Hyekal saling bertukar pandangan. “Adakah kami sepatutnya mengetahui cerita ini? Tuan puteri tidak risau ke jika kami memberitahu gabenor jajahan lain?” Rishah bersuara. Elena menundukkan kepalanya. Dia sedang menyusun kata-kata untuk meyakinkan Rishah dan Hyekal bahawa dia mempercayai mereka. “Apabila mendengar kata-kata dari tuan puteri, tidakkah tuan puteri rasa dengan kata-kata itu mampu melemahkan semangat kami yang mendengar? Atau tuan puteri ingin dengar dari kami ‘keluarga diraja sendiri tidak ambil kisah mengenai rakyatnya, kenapa kita yang sekadar gabenor ini perlu bersusah payah?’ Adakah begitu?”
Elena menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembuskan secara perlahan-lahan. “Disebabkan rasa ingin tahu berkaitan cara pentadbiran kamu berdua membuatkan saya ke mari. Dalam usia yang muda, kamu berdua mampu mentadbir jajahan kamu dengan baik. Disebabkan itu, saya tertarik untuk mengenali dan belajar dengan kamu berdua berkaitan hal ehwal pentadbiran.”
“Tuan puteri lebih muda dari kami! Dan bukankah di istana, tuan puteri belajar hal pentadbiran bersama Permaisuri Arleena dan Bendahara Cornelius? Tuanku Permaisuri dan Bendahara lebih berpengalaman dari kami.” Hyekal memandang Elena dengan wajah yang serius.  “Atau adakah tuan puteri mahu kami memihak kepada Putera Luca dan bersetuju dengan rancangan tuan putera mengenai pembangunan pusat ilmu itu?” Rishah tersenyum sinis.
“Saya ke mari bertujuan untuk mengenali kamu berdua dengan lebih rapat di antara seorang puteri dan ahli kerajaan yang lain. Benar, memang saya belajar dari bonda dan Bendahara Cornelius tetapi itu tidak bermakna saya tidak boleh menuntut ilmu dengan Alas yang lain. Kenapa saya memilih kamu berdua? Kerana kamu berdua memiliki potensi untuk berada di suatu tempat yang lebih tinggi. Mungkin, kamu berdua akan di pilih menjadi seorang pemimpin bagi Kerajaan Arco Iris. Masa depan kita, tiada siapa yang mengetahuinya. Kita sendiri yang mencorakkan masa depan kita.” Mendengar kata-kata Elena, Hyekal dan Rishah bertukar pandangan sesama mereka.
“Kenapa tuan puteri merasakan seperti kami mampu menjadi pemimpin Kerajaan Arco Iris? Kerajaan kita mempunya raja... Nanti dulu, jangan kata tuan puteri mahu menjadikan kerajaan kita kepada kerajaan demokrasi?!”Hyekal terkejut dan terus bangun secara tiba-tiba. Elena menundukkan kepalanya dan mengetap bibirnya. Sebelum ke Jajahan Blau, dia telah bertekad untuk membincangkan perkara ini bersama Hyekal dan Rishah.
“Ya, saya rasa sudah tiba masanya untuk keluarga diraja mengundurkan diri dan memberi peluang kepada rakyat untuk memilih pemerintah mereka. Dengan cara begini, rakyat akan lebih gembira berbanding sekarang.”
“Saya tidak bersetuju dengan tuan puteri. ‘Rakyat akan lebih gembira berbanding sekarang’ adalah ayat yang terlalu umum. Tuan puteri dah meninjau keadaan rakyat tuan puteri ke? Sekarang ini, Putera Luca sedang meninjau sambil mahu menyiasat jajahan Lila. Apa kata tuan puteri pulang ke Istana dan berbincang dengan Putera Luca berkaitan perkara ini? Perkara ini terlalu serius untuk dibincangkan bersama kami. Kenapa tuan puteri telalu mempercayai kami? Kami mendapat jawatan gabenor pun hasil rampasan kuasa dari keluarga gabenor sebelum ini.” Rishah mengeluh dan duduk semula. Dia tidak mahu mengingati lagi peristiwa dimana jajahan Blau dan jajahan Azul bersatu untuk menjatuhkan dua gabenor sebelum ini.
“Saya tahu akan peristiwa itu. Disebabkan itu, saya mahu berjumpa dengan kamu berdua. Saya pasti dapat mempelajari sesuatu daripada kamu berdua.” Elena menundukkan kepalanya. “Puteri Elena, sila bersembunyi!” Ryan menjerit dari hadapan pintu. Mendengar jeritan Ryan itu, Rishah dan Hyekal berpandangan sesame sendiri dan menganggukkan kepala. “Nampaknya mereka telah mengetahui tempat pertemuan ini.” Rishah mendengus. Dia tidak sangka bahawa secepat ini, mereka mampu menghidu tempat persembunyian Hyekal dan Rishah. “Apa yang berlaku?” Elena bangun dari kerusi. Hyekal mengarahkan Rishah untuk membawa Elena pergi dari Blau.

“Kami akan ceritakan apa yang berlaku kemudian. Tuan Puteri, sila ikut Rishah dan keluar dari Blau dengan kadar segera. Rishah, kita jumpa di lain hari.” Hyekal segera ke hadapan pintu bersama Ryan. “Mari ikut saya, tuan puteri.” Rishah menarik tangan Elena dan keluar melalui pintu rahsia yang terletak di bawah dapur rumah papan itu. 

No comments:

Post a Comment