14 July 2015

~Con Alas~ Lagenda Bersayap Bab 4

Bab 4
“Kita juga berhak untuk menjadi penjaga kepada pintu dua dunia itu. Kita juga manusia Alas sama seperti mereka di Arco Iris. Tidak ada yang membezakan kecuali warna sayap kita yang hitam!” Lantang suara Ireena di dewan senat Umbra. “Hanya kerana putih melambangkan kepimpinan dan hitam pula adalah bayang-bayang kepada kepimpinan, adakah kita perlu membiarkan sahaja? Tidak! Kita perlu bangkit dan berada di puncak kepimpinan! Kita perlu membuktikan di dunia Alas ini bahawa kita Alas hitam juga mampu menjaga pintu itu lebih baik dari Alas putih!” Dewan Umbra dipenuhi dengan bunyi tepukan di meja tanda bersetuju dengan kata-kata Ireena itu.

Ireena, mudahnya kau termakan kata-kata manis dan harapan, Irm menyeringai. Ireena merasa puas. Jika bermusyawarah di Arco Iris, dia hanya perlu mendengar kata-kata Adi Rem kerana menteri-menteri dan gabenor-gabenor hanya mahu mendengar dari Adi Rem. Tetapi di kerajaan Umbra, kelantangan suaranya di dengari oleh para menteri dan juga keluarga diraja Umbra. Ireena turun dari mimbar yang berada di tengah Dewan Umbra itu. Seramai 50 orang menteri dan pembantu mereka serta gabenor yang menghadiri musyawarah itu.

“Tahniah atas kelantangan itu, sayangku.” Irm berbisik kepada Ireena sewaktu bersilih dan mengambil tempat di mimbar tersebut. “Tuan-tuan sekalian, sepertimana Senohra Ireena katakan, sudah tiba masanya untuk kita bertahkta di Dunia Alas ini. Sudah tiba masanya untuk kita, Alas hitam menjadi penjaga kepada pintu yang menghubungkan Dunia Alas dan Dunia Manusia. Kerajaan Umbra kini bukan lagi kerajaan Umbra yang dahulu. Bukan lagi kerajaan Umbra yang menjadi bayang-bayang dan penyokong kuat Kerajaan Arco Iris. Kerajaan Umbra kini adalah kerajaan dimana kita akan menguasai pintu dua dunia dan juga menjadi kerajaan terhebat sepertimana Empayar Aria dan juga Empayar Gladius!” Ireena berdiri dan menepuk tangan tanda menghormati dan bersetuju dengan kata-kata Irm itu. Dia tidak menyesal mengikut Irm ke kerajaan Umbra. Dia sedar dia tidak ada tempat di Arco Iris. Ketika itu, sayap hitam muncul dari belakang Irm. Melihatkan sayap yang muncul itu, semua yang berada di dalam dewan itu memberi tunduk hormat kepada Irm.

“Kita memperjuangkan hak kita di Dunia Alas ini! Hidup Umbra!” Semua yang berada di dalam dewan itu menjerit, “Hidup Umbra!”
--------------------
“Apakah tindakan yang ayahanda akan lakukan?” Luca memandang Tuanku Ingram. Bendahara Cornelius dan 10 orang menteri yang lain turut berada di dalam bilik persidangan itu. “Lucadiese, sekiranya benar seperti apa yang anakanda katakan, siasatan yang lebih lanjut perlu dijalankan. Beta tidak mahu tuduhan serkap jarang.”

“Jika begitu, biarkan saya pergi bersama Shin dan juga Andre sebagai pengiring saya. Ini tugasan pertama saya sebagai Putera Mahkota!” tegas Luca. “Tuanku, pada pendapat patik, sudah tiba masanya juga untuk Putera Lucadiese melihat dunia Alas dan juga menyiasat perkara ini. Bukankah itu serampang dua mata?” Bendahara Cornelius mencelah. Luca mengurut kepalanya yang masih sakit itu. “Beta akan fikirkan perkara ini. Menteri dan Bendahara boleh bersurai serta tinggalkan saya dan juga mereka bertiga.” Para menteri dan Bendahara Cornelius bangun dan memberi tunduk hormat kepada Tuanku Ingram dan juga Luca.

            “Shin, kamu sebagai jeneral sepatutnya mengarahkan para tentera dibawah seliaan kamu untuk memastikan tiada kekacauan di Bazaar Iris itu. Kamu sepatutnya bijak dalam pembahagian tugas..” belum sempat Tuanku Ingram menghabiskan kata-katanya, Shin mencelah.

            “Tujuan saya sendiri turun ke Bazaar Iris sendiri adalah untuk mengesahkan laporan berkaitan dengan pengutipan sewa secara haram. Saya telah mendapat laporan dari tentera saya bahawa pengutipan sewa secara haram akan berlaku setiap kali adanya bazaar di Bandar Kristal. Ah, tahukah tuanku bahawa di bahagian tengah Bazaar Iris di dominasi oleh pihak bangsawan dan juga hartawan? Bukankah pihak Istana telah menekankan bahawa bahagian tengah Bazaar Iris adalah untuk golongan rakyat marhaen yang dari golongan peniaga dan rakyat yang kurang berkemampuan?” Shin mahu meninggikan suaranya.

Luca memegang bahu Shin. Dia meminta Shin untk berhenti dari berkata-kata dan memberikan peluang kepada Tuanku Ingram untuk bersuara. “Mengapa beta tidak mengetahui akan hal ini? Setiap kali beta adakan hari bersama rakyat di setiap jajahan, tidak ada rakyat yang memberitahu beta mengenai perkara ini kecuali di jajahan Blau dan juga Azul.”

“Ini kerana rakyat takut dengan gabenor mereka. Gabenor jajahan Blau dan juga Azul sangat prihatin terhadap rakyat mereka. Sekiranya rakyat mereka bersuara, gabenor Blau dan juga gabenor Azul akan usaha sedaya upaya mereka untuk meningkatkan lagi mutu kerja dan mutu kehidupan rakyat mereka. Berdasarkan rekod kewangan, jajahan Blau dan juga Azul merupakan dua jajahan yang tidak membebankan rakyat mereka dengan cukai.” Luca bersuara. Sakit kepalanya itu telah hilang. Itulah kesan sampingan akibat tidak mampu mengawal kuasa sayapnya sendiri.

“Sekiranya dengan menjelajah ke setiap jajahan akan dapat menjawab segala persoalan yang bermain di fikiran kamu, Lucadiese, beta izinkan kamu pergi bersama Shin dan juga Andre. Tetapi, sekiranya kamu tidak dapat membuktikan apa-apa, kamu perlu bersiap sedia dengan hukuman yang setimpal dengan tuduhan kamu itu.” Luca, Andre dan Shin saling bertukar pandangan antara satu sama lain. “Baiklah, Tuanku. Kami bersedia untuk menerima hukuman sekiranya tuduhan kami tidak berasas dan tanpa bukti yang kukuh.” Shin menjawab. “Shin dan Andre, kamu berdua boleh bersurai. Beta ingin berbicara dengan Lucadiese.” Mendengar kata-kata Tuanku Ingram itu, Shin dan Andre memberi tunduk hormat dan beredar dari bilik persidangan itu.

“Mari kita keluar berbicara di taman. Di situ lebih selesa dan lebih tenang dari di bilik yang tertutup ini.” Tuanku Ingram bangun dan beredar dari bilik persidangan itu diikuti dengan Luca.
------------------
Setelah menuang teh ke dalam cawan Tuanku Ingram dan juga Luca, dayang-dayang tersebut meninggalkan mereka berdua di gazebo yang terletak di bahagian tengah taman bunga ros merah itu yang terletak di bahagian timur Istana Kristal. “Kenapa ayahanda mengajak anakanda ke mari?” Luca memulakan bicara. Tuanku Ingram hanya menghirup teh tanpa menghiraukan bicara anaknya itu. “Ayahanda..”

“Sudah begitu lama kita tidak duduk dan menikmati teh bersama. Kali terakhir adalah ketika Ireena masih disini dan kamu pula sibuk berlatih ketenteraan bersama Shin dan menyatakan hasrat bahawa kamu mahu menjadi jeneral kepada pasukan tentera Kerajaan Arco Iris.” Tuanku Ingram mengingati kenangan bersama Ireena dan Luca di gazebo itu. “Ah, anakanda masih ingat lagi. Selepas Ireena mendengar bahawa anakanda mahu menjadi jeneral, Ireena segera mengajak berlawan dengannya di tapak latihan tentera...”

“Dan kamu kalah kepadanya beberapa kali.” Tuanku Ingram menyambung kata-kata Luca itu. Masing-masing tersenyum apabila mengingati memori lama. “Ayahanda berharap, kamu tidak akan cepat terpengaruh dengan anasir luar seperti Ireena. Apa yang ayahanda nampak, Ireena mahu membuktikan bahawa dia juga mampu untuk memerintah dan mentadbir sesebuah kerajaan. Disebabkan itu, ada beberapa insan di Arco Iris ini mengambil kesempatan ke atasnya.” Luca mendengardan menghirup teh yang telah dihidangkan itu. Luca tahu yang kakaknya itu mahu membuktikan bahawa dirinya mampu menjadi pentadbir sebuah kerajaan walaupun dia seorang wanita.

“Untuk mempermudahkan kamu ke setiap jajahan, ayahanda akan utuskan warkah ke setiap jajahan bahawa kamu akan menjelajah di jajahan mereka.”

“Itu tidak perlu ayahanda! Saya mahu melihat sendiri keadaan setiap jajahan tanpa pengetahuan dari para gabenor dan juga pembesar setiap jajahan. Sekiranya mereka tahu putera mahkota akan datang melawat, anakanda rasa, rakyat akan dikunci mulut mereka dari berkata-kata.” Luca memandang ayahandanya itu dengan penuh rasa kasih dan sayang. “Sekiranya anakanda menghadapi kesusahan, anakanda akan menghantar nota pendek menggunakan Haast dengan kadar segera.” Tuanku Ingram menggosok-gosok kepala anak terunanya itu. Dia tidak mahu kehilangan anaknya buat kali kedua.


“Sebelum kamu berangkat, kamu pegi berjumpa dengan bondamu dan minta restu darinya agar perjalanan kamu selamat dan direstui. Seperkara lagi, sekiranya kamu bertemu Ireena sewaktu penjelajahan kamu, sila beritahu Ireena bahawa, ayahanda dan bonda sangat merinduinya dan berharap agar dia kembali ke Arco Iris.”

3 comments:

  1. Yayy dah update! Hm, jadi Ireena dan Kerajaan Umbra adalah antagonis dalam siri ni?

    ReplyDelete
  2. Janganlah merajuk sebab tak balas komen.. hahaha..
    Saya tak pernah guna blog.. so ni baru first time..
    Nak kata diorang tak juga.. sebab ada gak adi rem and the gang

    ReplyDelete
  3. M-Mana ada saya merajuk >^<
    Merajuk secara bergurau je haha. Oh ya Adi Rem tu ye juga, tapi saya dapat rasakan Kerajaan Umbra tu adalah musuh utama dalam siri ni.
    Takpe, kita lihat nanti...

    ReplyDelete